Cetak

Jabatan Perundangan

Latar Belakang Jabatan Perundangan

Jabatan Perundangan ditubuhkan bagi menasihati dan memberikan khidmat perundangan kepada Pihak Pengurusan USAS dan Pusat Tanggungjawab lain yang memerlukan khidmat sedemikian agar transaksi-transaksi yang dimasuki oleh pihak-pihak tersebut mematuhi skop dan bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan USAS atau apa-apa undang-undang yang berkuatkuasa kepadanya.

Jabatan Perundangan bertanggungjawab sepenuhnya kepada Rektor. Jabatan Perundangan diketuai oleh seorang Penasihat Undang-Undang kepada Rektor dan dibantu oleh seorang Pegawai Undang-Undang serta Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).

Fungsi Utama

Tertakluk kepada Perlembagaan Universiti Sultan Azlan Shah dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Jabatan Perundangan bertanggungjawab dalam aspek – aspek berikut:-

Penasihatan

  • Menasihati USAS dalam semua hal-hal perundangan yang berkaitan yang melibatkan USAS dan atau warganya;
  • Memberi nasihat dalam penyediaan apa-apa dokumen, surat, laporan dan sebagainya
  • Menasihati USAS tentang apa-apa Akta, Kaedah, Peraturan,perundangan subsidiari atau keputusan kehakiman yang relevan dan memerlukan pengubahsuaian berlandaskan amalan dan prosedur USAS ;
  • Menasihati USAS dalam kes tatatertib melibatkan kakitangan serta pelajar; dan
  • Menasihati USAS dalam menyediakan jawapan kepada apa-apa isu yang melibatkan USAS kepada pihak-pihak berkepentingan.

Gubalan

  • Menyedia, menderaf, menyemak dan menasihati terma-terma dan syarat-syarat Memorandum Persefahaman, Memorandum Perjanjian, Surat Niat dan sebagainya;
  • Membuat rundingan berkaitan terma-terma dan syarat-syarat Memorandum Persefahaman, Memorandum Perjanjian dan Surat Niat dengan agensi-agensi kerajaan, antarabangsa, universiti tempatan dan luar negara serta sektor industri bagi melindungi kepentingan USAS ; dan
  • Mengemukakan dan menjelaskan cadangan deraf atau pindaan Perlembagaan USAS , Statut, Kaedah, Perintah atau Peraturan kepada mana-mana pihak berkepentingan

Guaman

  • Memantau dan melapor kepada USAS kes-kes mahkamah yang melibatkan USAS , pekerja dan pelajar
  • Menyemak, menyelia dan membantu panel peguam yang mewakili USAS ;
  • Meneliti saman, menandatangani affidavit dan dokumentasi perundangan untuk dikemukakan kepada mahkamah; dan
  • Mengurus pelantikan dan penamatan, menyelia dan memantau prestasi panel peguam.

Visi Dan Misi Jabatan Undang-Undang

Visi

Menyediakan perkhidmatan perundangan yang berkualiti dan efisien kepada USAS dan warganya.

Misi

Menasihati dan menyediakan perkhidmatan perundangan kepada USAS selaras dengan Perlembagaan Universiti Sultan Azlan Shah dan undang-undang Malaysia.